22 Januari 2017 - 19:53
Trump Pecat Para Duta A.S Tanpa Namakan Pengganti Mereka

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah memanggil pulang kesemua duta negaranya ke negara-negara asing dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa pada hari pertama beliau memasuki pejabat presiden.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah memanggil pulang kesemua duta negaranya ke negara-negara asing dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa pada hari pertama beliau memasuki pejabat presiden.

Trump yang mengangkat sumpah sebagai Presiden A.S yang ke-45 pada hari Jumaat telah mengarahkan kesemua duta yang dilantik oleh pentadbiran Obama untuk meninggalkan pejabat mereka pada hari yang sama tanpa memberikan mereka sebarang waktu.

Seramai 80 orang duta ke pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa telah diarahkan meninggalkan kedudukan mereka.

Menurut polisi yang biasa diamalkan, para duta yang dipilih berasaskan pelantikan politik akan meletakkan jawatan mereka pada permulaan pentadbiran baharu. Akan tetapi, bukanlah sesuatu yang biasa apabila perkara itu dibuat tanpa menyediakan para pengganti untuk mengambil tugas tersebut daripada mereka.

Kumpulan transisi Trump sebelum ini telah mengumumkan keputusan tersebut kepada para duta negara itu pada 23 Disember lalu.

Tindakan itu menimbulkan risiko terputusnya hubungan langsung di antara A.S dan Jerman, UK, Kanada dan beberapa negara sekutunya.

Setakat ini, hanya beberapa pengganti telah dinamakan seperti Nikki Haley yang akan menggantikan Samantha Power sebagai duta A.S ke PBB. Pentadbiran itu turut menamakan duta baharu mereka ke Israel dan China sebelum ini.